Cari Blog Ini

Rabu, 17 Mac 2010

Tanggungjawab Ibu Bapa Membentuk Peribadi , Akidah Anak Sebaik Dilahirkan

Anak merupakan aset yang paling bernilai kepada kedua-dua ibu dan bapa. Oleh itu, setiap pasangan yang telah berkahwin mempunyai keinginan untuk mendapatkan cahaya mata sebagai penyeri dan pelengkap kebahagiaan dalam sesebuah rumah tangga yang dibina.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Harta benda dan anak pinak itu ialah perhiasan hidup di dunia…” (al-Kahfi :46)

Betapa beruntungnya kedua-dua ibu bapa yang mempunyai anak-anak soleh yang dapat membahagiakan hidup mereka . Bukan sahaja hidup di dunia bahkan di akhirat juga. Doa daripada anak-anak yang soleh tetap tidak terputus kepada ibu dan bapa mereka sekalipun kedua-duanya telah meninggal dunia sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila meninggal dunia seseorang anak Adam, maka terputuslah semua amalannya kecuali tiga perkara iaitu: Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang sentiasa mendoakan kedua-dua ibu bapanya”.
(HR al-Bukhari)

Anak-anak hendaklah diberi pendidikan yang sempurna seawal mungkin bermula dari dalam kandungan lagi. Tanggungjawab ibu dan bapa telah wujud sebelum terbentuknya janin. Oleh itu suami isteri hendaklah memberi perhatian dan tumpuan pendidikan sempurna sepenuhnya untuk memastikan anak tersebut menjadi anak yang soleh. Suami isteri mesti bertanggungjawab untuk menjaga kandungan dari segi kesihatan fizikal dan mental, mengamalkan pemakanan seimbang, makan minum dan rezeki dari sumber yang halal dan berkat, mengerjakan amalan-amalan kerohanian seperti membanyakkan membaca al-Quran, zikir, melakukan ibadah-ibadah sunat disamping tidak meninggalkan ibadah fardhu yang diwajibkan.

Ketika isteri mengandungkan bayi, si bapa pula mempunyai peranannya yang tersendiri. Bekerjalah dengan penuh amanah, bertanggungjawab dan ikhlas demi mendapatkan rezeki yang halal untuk keluarga mereka. Sesungguhnya keberkatan lahir dari makan minum yang berpunca dari rezeki yang halal.

Oleh itu para ibu bapa hendaklah sentiasa berhati-hati dan berwaspada setiap masa dalam pekerjaan. Tunaikan kerja dengan penuh dedikasi dan amanah demi memperoleh rezeki yang berkat dari sumber yang halal. Rezeki yang diberi makan kepada anak itulah yang akan menjadi darah daging yang akan membesarkan anak-anak . Jika sumbernya halal dan berkat, mudah-mudahan anak-anak yang bakal dilahirkan akan menjadi anak-anak soleh yang dapat membahagiakan hidup kedua-dua ibu bapa. Di samping itu apabila anak-anak telah diberi pendidikan sempurna mengikut syariat Islam, apabila besar mudah-mudahan mereka akan menjadi anak yang soleh.

Demi mendapatkan anak-anak yang soleh, Islam telah menganjurkan kepada ibu bapa untuk melakukan beberapa amalan dari awal lagi. Islam telah menetapkan peraturan tertentu semasa menyambut kelahiran bayi iaitu dengan melakukan amalan-amalan sunat seperti berikut:

i- Azan dan iqamat
HENDAKLAH segera diazankan ditelinga kanan dan diiqamat ditelinga kiri sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang baru melahirkan anaknya lalu diazankan di telinga kanan dan diiqamat di telinga kirinya nescaya anak tersebut akan terhindar daripada penyakit sawan dan angkara syaitan”.
(Hadis Riwayat Abu Ya’la)

ii- Membelah mulut (tahnik)
TAHNIK mulut bayi dengan kurma atau makanan yang manis merupakan sunnah Nabi SAW.

iii- Penyusuan
SUSU ibu merupakan makanan semula jadi bayi. Ia membina kesihatan dan tenaga. Ia juga makanan rohani dan akhlak yang memberi kesan kepada seluruh keperibadian anak, mengalirkan aliran pemikiran dan sikap yang baik ke dalam diri bayi melalui setiap titisan air susu ibu.

iv- Memberi nama
TANGGUNGJAWAB ibu bapa juga ialah memberi nama anak-anak dengan nama yang baik sebagaimana hadis Nabi SAW yang bermaksud: ” Tugas dan tanggungjawab bapa terhadap anaknya ialah memperelokkan nama anaknya dan juga adabnya”
(Hadis Riwayat al-Baihaqi)

v- Bercukur
MENGGUNTING rambut bayi merupakan sunnah Rasulullah SAW yang dilakukan ketika bayi berusia 7 hari. Rambut tersebut hendaklah ditimbangkan dengan wang perak yang kemudiannya disedekahkan kepada fakir miskin mengikut berat timbangan rambut yang digunting tersebut.

vi- Aqiqah
HUKUM Aqiqah ialah sunat yang sangat dituntut (muakkad). Sabda Nabi SAW mengenainya yang bermaksud : “Setiap anak tergadai dengan aqiqahnya yang disembelih untuknya pada hari ke 7, dicukur ranbutnya dan diberi nama.”
(Hadis Riwayat Ahmad)

vii- Berkhatan
BERKHATAN termasuk sunnah Rasulullah SAW. Sabda Nabi SAW mengenainya yang bermaksud: “Berkhatan itu sunat bagi kaum lelaki dan suatu penghormatan kepada kaum wanita.”
(Hadis Riwayat At- Tabrani)

Ketika anak-anak masih kecil berilah didikan menurut syariat Islam. Pada tahap ini ajarilah dengan sebutan kalimah-kalimah suci Allah (al-Quran). Peringkat usia kanak-kanak mereka akan mudah mengingat apa yang diajar. Oleh itu ibu bapa hendaklah :-

i- Menanamkan asas-asas keimanan
ii- Berlaku adil terhadap anak-anak dalam memberi kasih sayang, pendidikan, makanan, tempat tinggal dan sebagainya.
iii- Mengasuh anak-anak dengan lemah lembut dan bersopan santun.
iv- Mempamerkan akhlak yang mulia dan terpuji.
v- Mengampuni dan mengasihi anak-anak dan lain-lain ahli keluarga dengan penuh kasih dan sayang.
vi- Mendidik anak-anak ke jalan yang diredhai Allah SWT.
vii- Menunjukkan teladan yang baik pada anak-anak.
viii- Bertanggungjawab mencipta sebuah rumahtangga yang aman bahagia untuk didiami oleh anak-anak.
ix- Bertanggungjawab memastikan anak-anak dijaga dengan baik.
x- Bertanggungjawab memberi pendidikan dan pelajaran yang berguna dan menghantar mereka ke sekolah-sekolah.
xi- Mengajar anak-anak mengerjakan sembahyang, mengaji al-Quran dan melatih anak-anak berpuasa.
xii- Mengajar anak-anak dengan ilmu yang dapat menjadi perangsang bagi memperkayakan ilmu Islamnya.

Ibu bapa hendaklah sentiasa menyuruh anak-anak mereka bersifat dengan sifat yang mulia dan murni iaitu sifat-sifat mahmudah. Mereka juga mesti melarang anak-anak dari melakukan perkara-perkara keji dan tidak elok iaitu sifat-sifat mazmumah. Oleh yang yang demikian, ibu bapa mestilah terlebih dahulu memiliki sifat-sifat mahmudah dan kemudian hendaklah diterapkan kepada anak-anak mereka.

Setelah remaja, ajaran-ajaran agama Islam yang berkaitan dalam bidang syariah, aqidah dan akhlak perlu diajar secara terperinci kepada anak-anak di peringkat umur begini supaya mereka mengetahui, memahami dan dapat menghayatinya. Seterusnya perkara-perkara baik dan betul tersebut dapat diimplementasikan dalam kehidupan mereka sehari-hari. Dengan demikian mereka tidak akan mudah terpengaruh dengan ajaran-ajaran yang menyelewen, amal ibadat dan akhlak mereka akan terpandu dengan betul.

Oleh itu ibu bapa amat perlu memberi didikan syariat yang sempurna kepada anak-anak mereka seawal mungkin bermula dari dalam kandungan ibu lagi seperti kata pepatah “Melentur Buluh Biar Dari Rebungnya’ agar anak-anak dapat hidup bahagia, berjaya dan membesar dalam keadaan sempurna tanpa terpengaruh dengan gejala-gejala negatif yang boleh merosakkan hidup mereka

Ahad, 14 Mac 2010

MENGINSTITUSIKAN KONSEP SATU Dr Ismail Ibrahim (Penyandang Kursi Syeikh Abdullah Fahim, UKM/ Pemegang Amanah Yayasan 1 Malaysia) -



Pemimpin yang baik ialah pemimpin yang berpendidikan dan terpelajar, mempunyai visi dan pandangan jauh untuk membina bangsa dan negara. Pemimpin yang dapat mengkosepsikan satu amalan biasa di dalam masyarakat bertujuan untuk menjadikannya satu plan tindakan yang lebeh konkrit untuk dilaksanakan sebagai agenda negara, adalah pemimpin yang berwibawa dan dapat mengorak langkah untuk menyusun satu strategi bagi membangunkan bangsa dan negara dalam mencapai kemajuannya.

Disamping mengkonsepsikan sesuatu amalan yang dianggap biasa dan mudah di dalam masyarakat itu, maka pemimpin tersebut juga dapat menginstitusikan konsep tersebut di dalam satu visi dan gagasan yang lebeh konfrehensif untuk menjadi agenda perjuangan bangsa. Maka pemimpin tersebut adalah merupakan pemimpin yang cemerlang. Hal inilah yang saya rasa menjadi inspirasi dan pandangan pemimpin kita ketika merangka satu gagasan perjuangan yang hendak dilaksanakannya semenjak negara mencapai kemerdekaan, seperti dasar luar bandar, multimedia koridor raya, wawasan 2020 dan sebagainya.

Gagasan satu Malaysia umpamanya adalah merupakan satu konsep yang dikonsepsikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, untuk menjadikannya satu tindakan strategik dalam mewujudkan kesatuan bangsa Malaysia yang terdiri daripada kepelbagaian kaum dan budaya.

Konsepnya amat penting seperti yang digagaskan dalam lapan nilai yang menjadi teras gagasan ini, iaitu budaya cemerlang, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti. Nilai-nilai ini semua merupakan amalan baik yang dilaksanakan oleh masyarakat kita selama ini, sama sahaja seperti amalan tolong menolong dan hormat menghormati yang merupakan budaya bangsa Malaysia di kalangan semua kaum dan etnik sejak sekian lama.

Tradisi berbudi bahasa dan bertolak ansur yang menjadi warisan bangsa Malaysia dari berbagai keturunan sebenarnya telah diamalkan di dalam masyarakat kota dan desa semenjak berdekad-dekad lamanya, termasuk ketika negara kita masih belum mencapai kemerdekaannya.

Kita boleh menyingkap sejarah kemasukan orang Cina dan India ke Tanah Melayu ketika penjajahan Inggeris dulu. Mereka diterima baik oleh orang Melayu, malah di kampung-kampung, orang Cina bebas berniaga dan bercucuk tanam, dan orang Melayu pula yang membeli di kedai-kedai runcit mereka, atau membeli sayur-sayuran hasil tanaman mereka setiap hari. Orang Cina dan India menghormati Penghulu dan Ketua Kampung yang rata-ratanya terdiri daripada orang Melayu. Pada musim perayaan, orang Cina sering menghantar buah-buahan dan kueh mueh kepada Tok Penghulu, demikian juga ketika orang Melayu menyambut Hari Raya, orang Cina tidak dilupakan untuk dijemput hadir ke rumah-rumah mereka.

Amalan masyarakat Melayu, India dan Cina inilah yang cuba dikonsepsikan semula oleh Perdana Menteri sekarang dalam gagasan satu Malaysia, dan konsep inilah yang telah di institusikan oleh beliau agar menjadi satu gagasan bangsa untuk diperjuangkan dengan lebeh strategik lagi oleh rakyat seluruhnya tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan bahasanya.

Dengan itu ternyata bahawa segala unsur penyatuan dan elemen kesepaduan antara bangsa Malaysia yang terdiri daripada kepelbagaian kaum dan etnik ini, mungkin selama ini agak berselerak di sana sini, diamalkan oleh sebahagian masyarakat sedangkan sebahagian yang lain mengabaikannya, malah mungkin juga sesetengah orang menyedari kepentingannya, sedangkan sesetengah yang lain merasakannya tidak penting, maka gagasan 1 Malaysia merupakan usaha teratur untuk mengumpul segala nilai dan amalan baik itu agar dapat difahami oleh semua kalangan dalam masyarakat Malaysia, dan seterusnya dapat menghayati dan merealisasikannya dengan penuh kesedaran demi kepentingan bersama.

Gagasan ini juga seharusnya difahami dengan lebeh teratur dan serius lagi oleh bangsa Malaysia yang terdiri daripada generasi baru yang mungkin tidak menyedari perjuangan berbagai etnik untuk mencapai kemerdekaan dan membangun ekonomi, politik dan sosial semua rakyat berbagai keturunan yang menjadi hakikat perkembangan sejarah negara ini.

Generasi baru mungkin tidak memahami perjuangan mencapai kemerdekaan dan pengisiannya oleh Perdana Menteri yang pertama, Al-Marhum Tunku Abdul Rahman Putra bersama-sama dengan rakan seperjuangannya Tun Tan Siew Sin dan Tun Sanbanthan. Mungkin ramai orang muda sekarang yang tidak mendalami falsafah perjuangan ketiga-tuga pemimpin yang ketika itu mewakili tiga kaum terbesar di tanah air kita, dan yang benar-benar memahami sensitiviti kaum masing-masing, sehingga mereka bertiga terpaksa mengamalkan dasar toleransi yang cukup tinggi untuk menjaga kesepaduan kaum dan bersama-sama membangun bangsa dalam semua aspeknya.

Dalam semua perjuangan untuk kesepaduan dan keamanan, terutamanya di dalam negara kepelbagaian kaum dan keturunan, masing-masing kaum tentulah seharusnya sanggup berkorban demi kesejahteraan dan perdamaian, dan menunaikan tanggung jawabnya dengan penuh sedar untuk menjaga kepentingan rakyat keseluruhannya, bukan untuk satu kaum yang tertentu.

Bidang-bidang keberhasilan negara yang di institusikan untuk mencapai matlamat satu Malaysia juga merupakan satu pelan tindakan yang akan dijalankan bagi mencapai matlamat gagasan tersebut, terutamanya apabila telah dilibatkan beberapa kementerian yang tertentu untuk mengambil tindakan yang sesuai dengan tugas masing-masing dalam merialisasikan matlamat tersebut.

Yang penting bagi rakyat ialah memahami hakikat bahawa segala sesuatu yang termaktub di dalam Perlembagaan negara dan perundangannya masih tetap kekal terpakai sebagai sesuatu yang telah diterima oleh semua rakyat. Demikian juga dengan beberapa konsep, seperti kesamarataan, keadilan, hak istimewa, status Raja berperlembagaan dan sebagainya haruslah ditafsirkan dalam konteks yang betul dengan fakta walau pun gagasan satu Malaysia kelihatannya boleh dimengertikan sebagai sesuatu yang mutlak dan mengatasi peruntukan Perlembagaan dan undang-undang. Konsep satu Malaysia adalah merupakan satu institusi dan mekanisme pelan tindakan untuk pembangunan bangsa dan negara Malaysia yang bersatu menurut fahaman saya.

Sabtu, 13 Mac 2010