Pemimpin yang baik ialah pemimpin yang berpendidikan dan terpelajar, mempunyai visi dan pandangan jauh untuk membina bangsa dan negara. Pemimpin yang dapat mengkosepsikan satu amalan biasa di dalam masyarakat bertujuan untuk menjadikannya satu plan tindakan yang lebeh konkrit untuk dilaksanakan sebagai agenda negara, adalah pemimpin yang berwibawa dan dapat mengorak langkah untuk menyusun satu strategi bagi membangunkan bangsa dan negara dalam mencapai kemajuannya. Disamping mengkonsepsikan sesuatu amalan yang dianggap biasa dan mudah di dalam masyarakat itu, maka pemimpin tersebut juga dapat menginstitusikan konsep tersebut di dalam satu visi dan gagasan yang lebeh konfrehensif untuk menjadi agenda perjuangan bangsa. Maka pemimpin tersebut adalah merupakan pemimpin yang cemerlang. Hal inilah yang saya rasa menjadi inspirasi dan pandangan pemimpin kita ketika merangka satu gagasan perjuangan yang hendak dilaksanakannya semenjak negara mencapai kemerdekaan, seperti dasar luar bandar, multimedia koridor raya, wawasan 2020 dan sebagainya. Gagasan satu Malaysia umpamanya adalah merupakan satu konsep yang dikonsepsikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, untuk menjadikannya satu tindakan strategik dalam mewujudkan kesatuan bangsa Malaysia yang terdiri daripada kepelbagaian kaum dan budaya. Konsepnya amat penting seperti yang digagaskan dalam lapan nilai yang menjadi teras gagasan ini, iaitu budaya cemerlang, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti. Nilai-nilai ini semua merupakan amalan baik yang dilaksanakan oleh masyarakat kita selama ini, sama sahaja seperti amalan tolong menolong dan hormat menghormati yang merupakan budaya bangsa Malaysia di kalangan semua kaum dan etnik sejak sekian lama. Tradisi berbudi bahasa dan bertolak ansur yang menjadi warisan bangsa Malaysia dari berbagai keturunan sebenarnya telah diamalkan di dalam masyarakat kota dan desa semenjak berdekad-dekad lamanya, termasuk ketika negara kita masih belum mencapai kemerdekaannya. Kita boleh menyingkap sejarah kemasukan orang Cina dan India ke Tanah Melayu ketika penjajahan Inggeris dulu. Mereka diterima baik oleh orang Melayu, malah di kampung-kampung, orang Cina bebas berniaga dan bercucuk tanam, dan orang Melayu pula yang membeli di kedai-kedai runcit mereka, atau membeli sayur-sayuran hasil tanaman mereka setiap hari. Orang Cina dan India menghormati Penghulu dan Ketua Kampung yang rata-ratanya terdiri daripada orang Melayu. Pada musim perayaan, orang Cina sering menghantar buah-buahan dan kueh mueh kepada Tok Penghulu, demikian juga ketika orang Melayu menyambut Hari Raya, orang Cina tidak dilupakan untuk dijemput hadir ke rumah-rumah mereka. Amalan masyarakat Melayu, India dan Cina inilah yang cuba dikonsepsikan semula oleh Perdana Menteri sekarang dalam gagasan satu Malaysia, dan konsep inilah yang telah di institusikan oleh beliau agar menjadi satu gagasan bangsa untuk diperjuangkan dengan lebeh strategik lagi oleh rakyat seluruhnya tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan bahasanya. Dengan itu ternyata bahawa segala unsur penyatuan dan elemen kesepaduan antara bangsa Malaysia yang terdiri daripada kepelbagaian kaum dan etnik ini, mungkin selama ini agak berselerak di sana sini, diamalkan oleh sebahagian masyarakat sedangkan sebahagian yang lain mengabaikannya, malah mungkin juga sesetengah orang menyedari kepentingannya, sedangkan sesetengah yang lain merasakannya tidak penting, maka gagasan 1 Malaysia merupakan usaha teratur untuk mengumpul segala nilai dan amalan baik itu agar dapat difahami oleh semua kalangan dalam masyarakat Malaysia, dan seterusnya dapat menghayati dan merealisasikannya dengan penuh kesedaran demi kepentingan bersama. Gagasan ini juga seharusnya difahami dengan lebeh teratur dan serius lagi oleh bangsa Malaysia yang terdiri daripada generasi baru yang mungkin tidak menyedari perjuangan berbagai etnik untuk mencapai kemerdekaan dan membangun ekonomi, politik dan sosial semua rakyat berbagai keturunan yang menjadi hakikat perkembangan sejarah negara ini. Generasi baru mungkin tidak memahami perjuangan mencapai kemerdekaan dan pengisiannya oleh Perdana Menteri yang pertama, Al-Marhum Tunku Abdul Rahman Putra bersama-sama dengan rakan seperjuangannya Tun Tan Siew Sin dan Tun Sanbanthan. Mungkin ramai orang muda sekarang yang tidak mendalami falsafah perjuangan ketiga-tuga pemimpin yang ketika itu mewakili tiga kaum terbesar di tanah air kita, dan yang benar-benar memahami sensitiviti kaum masing-masing, sehingga mereka bertiga terpaksa mengamalkan dasar toleransi yang cukup tinggi untuk menjaga kesepaduan kaum dan bersama-sama membangun bangsa dalam semua aspeknya. Dalam semua perjuangan untuk kesepaduan dan keamanan, terutamanya di dalam negara kepelbagaian kaum dan keturunan, masing-masing kaum tentulah seharusnya sanggup berkorban demi kesejahteraan dan perdamaian, dan menunaikan tanggung jawabnya dengan penuh sedar untuk menjaga kepentingan rakyat keseluruhannya, bukan untuk satu kaum yang tertentu. Bidang-bidang keberhasilan negara yang di institusikan untuk mencapai matlamat satu Malaysia juga merupakan satu pelan tindakan yang akan dijalankan bagi mencapai matlamat gagasan tersebut, terutamanya apabila telah dilibatkan beberapa kementerian yang tertentu untuk mengambil tindakan yang sesuai dengan tugas masing-masing dalam merialisasikan matlamat tersebut. Yang penting bagi rakyat ialah memahami hakikat bahawa segala sesuatu yang termaktub di dalam Perlembagaan negara dan perundangannya masih tetap kekal terpakai sebagai sesuatu yang telah diterima oleh semua rakyat. Demikian juga dengan beberapa konsep, seperti kesamarataan, keadilan, hak istimewa, status Raja berperlembagaan dan sebagainya haruslah ditafsirkan dalam konteks yang betul dengan fakta walau pun gagasan satu Malaysia kelihatannya boleh dimengertikan sebagai sesuatu yang mutlak dan mengatasi peruntukan Perlembagaan dan undang-undang. Konsep satu Malaysia adalah merupakan satu institusi dan mekanisme pelan tindakan untuk pembangunan bangsa dan negara Malaysia yang bersatu menurut fahaman saya. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan